Nancy harap penggiat seni Kelantan kembali aktif berkarya

SEMPENA program Merakyatkan Seni Budaya Pengkalan Datu, seramai 31 individu dan kumpulan yang terdiri daripada kalangan penggiat seni budaya di Kelantan telah menerima sumbangan berjumlah RM85,000.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri sempena lawatan selama dua hari di Kelantan, baru-baru ini.
Nancy berharap sumbangan yang diberikan dapat menjadi pembakar semangat kepada penggiat seni di Kelantan untuk kembali aktif berkarya setelah hampir dua tahun tidak dapat mengadakan sebarang aktiviti seni budaya secara fizikal akibat wabak Covid-19 yang melanda negara.

Tambah beliau, negeri Kelantan bertuah kerana memiliki pelbagai kesenian tradisional yang unik dan masih diteruskan seperti makyung, wayang kulit, menora, gasing uri dan wau bulan.
“Saya amat berharap, semua pihak termasuk penggiat seni dan komuniti setempat dapat memainkan peranan membantu Kementerian dan JKKN dalam memulihara dan mengembangkan seni budaya warisan nenek moyang ini.
“Generasi muda juga boleh membantu dalam mempromosikan seni budaya Kelantan kepada masyarakat antarabangsa dengan memanfaatkan media sosial dan kemahiran digital,” katanya tentang majlis yang berlangsung di Pasar Terapung Resort Cerana Villa itu.
Beliau juga berharap majlis Merakyatkan Seni Budaya Pengkalan Datu anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Pekerja Seni Dan Warisan Anak-Anak Kelantan itu dapat menarik perhatian ramai pelancong.
Nancy turut memuji usaha yang dibuat oleh pihak pengurusan Pasar Terapung Cerana Villa Kota Pengkalan Datu yang telah bekerjasama dengan komuniti setempat dan jabatan kerajaan bagi menghidupkan destinasi tumpuan pelancongan.
“Kemudahan penginapan dan makan minum yang ditawarkan, bahkan menjadikan aktiviti seni budaya masyarakat setempat untuk pengunjung merupakan salah satu faktor yang mampu menjadi tarikan pelancong,” ujarnya.
Sementara itu, Program Merakyatkan Seni Budaya ini antara lain melibatkan pengisian acara sambutan Rebana Ubi dan Kertok serta diserikan dengan persembahan nyanyian, silat tari dan dikir barat oleh penggiat seni budaya Kelantan yang diselaraskan oleh JKKN Kelantan.
Maklumat lanjut mengenai Program Merakyatkan Seni Budaya, orang ramai boleh layari laman sesawang https://www.jkkn.gov.my atau laman sosial https://www.facebook.com/mysenibudaya dan https://www.facebook.com/jkknkelantan. –
BebasNews.
https://bebasnews.my/?p=73393